Header Ads

Arab Saudi berjaya jatuhkan peluru berpandu yang ditembak ke Mekah

Tentera Pertahanan Udara Arab Saudi, pada Khamis, berjaya menjatuhkan satu peluru berpandu yang dilancarkan oleh puak Al-Houthi. Peluru berpandu berkenaan menghala ke Kota Suci Mekah, demikian lapor agensi berita Arab Saudi.

Peluru berpandu balistik berkenaan, yang dilancarkan oleh anggota tentera puak Syiah Yaman, telah dipintas oleh Tentera Pertahanan Udara dengan menggunakan peluru berpandu Patriot di ruang udara. Peluru berpandu itu berjaya dijatuhkan di kawasan yang tiada penduduk. Sementara itu, sebuah pesawat tentera Arab Saudi telah memusnahkan tapak pelancar peluru berpandu berkenaan.

Pada Oktober 2016, Tentera bersekutu Arab pimpinan Arab Saudi mengumumkan bahawa pasukan tentera berjaya memintas sebuah peluru berpandu yang dilancarkan ke arah Mekah dari Yaman.

Peluru berpandu berkenaan berjaya dimusnahkan 65 kilometer dari bandar paling suci umat Islam itu, dan tiada sebarang kerosakan yang dilaporkan.

Tentera puak Al-Houthi telah mensasarkan bandar sempadan Arab Saudi sejak permulaan perang di Yaman.

Pada Selasa, 20 penduduk awam Yaman terbunuh dan ramai lagi cedera, ketika tentera bersekutu pimpinan Arab Saudi menyerang satu desa di bahagian selatan negara itu, kata pegawai dari gerakan bersenjata puak al-Houthi pada Rabu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata mangsa pengeboman itu, yang berlaku di desa al-atera di Wilayah Taiz, tempat pertempuran antara dua kumpulan di Yaman telah meningkat menjadi pelarian dalam negara.

Kerajaan Yaman, yang diiktiraf oleh antarabangsa, melaporkan bahawa kira-kira 20 orang terbunuh, termasuk wanita dan kanak-kanak. Namun, kerajaan tidak menjelaskan butiran lebih lanjut mengenai serangan berkenaan.
Dikuasakan oleh Blogger.