Header Ads

Abbasi dilantik PM Pakistan

Parlimen Pakistan memilih Shahid Khaqan Abbasi bagi menggantikan Nawaz Sharif sebagai Perdana Menteri selepas Nawaz dilucutkan jawatan kerana terpalit skandal rasuah minggu lalu.

Abbasi dilantik pada Selasa, namun parti pemerintah yang melantik beliau hanya mahu menjadikannya PM sementara sebelum akan melantik adik bongsu Nawaz, Shahbaz. Jawatan itu mungkin hanya dipegang Abbasi sekurang-kurangnya 45 hari sebelum adik Nawaz memenuhi syarat-syarat sebagai PM.

Abbasi yang merupakan anggota parti pemerintah, Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) dipilih selepas pungutan suara oleh anggota Majlis Dewan Negara parlimen di Islamabad, kelmarin. PML-N menguasai majoriti dalam Majlis Dewan Negara dengan pelantikan Abbasi merupakan keputusan yang tidak dapat dielakkan.

"Shahid Khaqan Abbasi dipilih sebagai perdana menteri Republik Islam Pakistan," kata Ketua Majlis Dewan Negara, Ayaz Sadiq, disambut tepukan anggota parti pemerintah.

Pemilihan itu diadakan selepas Mahkamah Agung Pakistan telah memecat Nawaz pada Jumaat lalu kerana membuat penipuan awam berkaitan pernyataan kekayaannya ketika memegang jawatan PM pada 2013.

Pengaruh Nawaz masih kekal kuat dalam kerajaan Abbasi, kelihatan selepas pengumuman kemenangan Abbasi yang diikuti sorakan oleh anggota parlimen dengan melaungkan nama, "Nawaz Sharif! Nawaz Sharif! ".

Parti-parti pembangkang mencalonkan lima calon dalam pemilihan tersebut, bagaimanapun Abbasi menang dengan perolehan suara 221 dari 342 anggota. Bagaimana pun, pilihan raya sebenar akan diadakan pada Jun 2018.

Dalam kenyataan di televisyen selepas pungutan suara, Abbasi menyatakan akan terus bekerja selagi menjawat jawatan PM.

"Saya mungkin berada di sini selama 45 hari atau 45 jam, tetapi saya kekal akan berada di sini sehingga ada penggantinya. Saya ingin bekerja dan menyelesaikan beberapa perkara penting, "ujar Abbasi.

Dalam pidato beremosi di pentas selepas pemilihan, Abbasi mempertahankan Nawaz dengan menyebut sekutunya itu tidak melakukan rasuah dan menjadi sasaran yang tidak adil. Beliau bersumpah akan memerintah negara dengan tegas mengikut perlembagaan dan berharap suatu hari nanti Nawaz akan kembali ke parlimen.

"Saya berterima kasih kepada warga Pakistan dan saya berterima kasih kepada PM rakyat Pakistan, Nawaz Sharif," ujar Abbasi.
Dikuasakan oleh Blogger.