Header Ads

Betul ke penyakit 'Bell’s Palsy' disebabkan aircond?

Oleh : Dr Suhazeli Abdullah

“Betul ke doktor penyakit Bell’s Palsy akibat muka terkena aircond (penghawa dingin)?,” Soal seorang kenalan sambil tunjukkan paparan wasap telefon Samsung beliau. Telefon tu sudah bertukar macam-macam warna dan kulit cover pun dah menggelupas dek lamanya beliau guna. Malah saya perasan terlalu kamcingnya beliau dengan telefon tu ‘ibarat aur dengan tebing’.

“Dalam wasap ni katanya seorang doktor Indonesia bernama Dr William memberikan sebab kenapa seorang pelakon terkenal Rano Karno dijangkiti penyakit Bell’s Palsy. Dia kata akibat disembur angin aircond.” ulas beliau sambil tunjukkan paparan wasap dalam telefon beliau.

Bell’s Palsy atau muka herot seperti kena strok boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Nama penyakit ini diambil dari nama seorang ahli bedah Scotland, Charles Bell (1774 – 1842). Beliau yang menemui dan mengkaji berkaitan penyakit ini.

Orang kampung sebut penyakit ini penyakit ‘kena-tuju’. Katanya seseorang itu terkena tuju oleh makhluk halus kerana meludah ke lubang tempat jin bertapa. Akhirnya dia kena-tuju oleh jin berkenaan. Suatu kepercayaan yang tidak benar. Saya boleh katakan teori kena sampuk jin ini sama karut faktanya dengan tulisan Dr William dari Indonesia tu. Takkan kena sembur angin aircond terus dijangkiti virus herpes? (Eh lupa, herpes tu makhluk halus).

Punca penyakit Bell’s Palsy ini akibat radang atau jangkitan virus pada saraf muka. Secara tepatnya saraf muka bernombor 7 (facial nerve). Otot muka akan herot, kelopak mata sukar ditutup dan pesakit tidak dapat senyum dengan sempurna. Bagi sesetengah kes yang serius, boleh berlaku pesakit akan hilang deria lidah, sukar untuk minum serta menelan, otot sekitar muka akan bergetar (twitching) dan percakapan teͤlor (tidak dapat mengucapkan kata-kata dengan sebutan yang betul)

Ianya bukan angin ahmar (strok), kerana angin ahmar biasanya melibatkan separuh badan akan lumpuh. Wanita hamil, pesakit Kencing Manis dan pesakit HIV mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti virus herpes ini.

Jika berlaku pada diri anda, sila dapatkan rawatan dengan kadar segera di premis kesihatan yang bertauliah. Jangan jumpa bomoh. Muka herot sebegini bukannya akibat balas dendam jin. Kajian mendapati tujuh dari 10 pesakit akan pulih sepenuhnya dengan ubat.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.