Header Ads

Jawapan anak mangsa memali, sejarah hitam yang tak akan dilupakan

Isu pembunuhan di Memali bukan isu untuk PRU-14 atau untuk mencari perhatian umum tetapi ia adalah isu maruah seorang ulama dan mangsa kezaliman terhadap orang kampung yang tidak berdosa, demikian menurut anak mangsa Memali 1985, Mohamad Zuhdi Mat Piah.

Beliau sekali lagi mengemaskini status di Facebooknya hari ini berhubung isu Memali bagi menjawab kritikan daripada netizen selepas tulisannya ditularkan tiga hari lalu.

Zuhdi menjelaskan beliau bukanlah orang yang mula-mula membangkitkan isu Memali sebaliknya bekas Perdana Menteri Tun Mahathir yang mencetuskan apabila memberi jawapan yang tidak bertanggunggjawab di dalam Program Nothing To Hide 2.0 baru-baru ini.

"Jawapan yang menggoncangkan jiwa saya dan kami anak mangsa Memali. Sebab itu saya rasa bertanggungjawab menulis untuk tatapan anak muda yang ingin mengetahui apa yang berlaku 32 tahun yang lalu.

"Saya anak mangsa, dan ayah adalah mangsa yang terlibat dan menjadi orang yang keluar di pagar rumah Ustaz Ibrahim untuk berunding dengan Datuk Yahya Yob (ketua pegawai operasi Ops Hapus)," katanya.

Bahkan beliau mengakui di usia setahun sewaktu ayahnya ditembak beliau tidak mengerti apa-apa tetapi melahirkan rasa takut apabila melihat keadaan ayahnya diperlakukan sedemikian.

"Sudah tentulah semua ini diceritakan oleh mak, ayah dan abang saya yang ada bersama ketika itu, ayah saya juga dipanjangkan umur hidup hampir 16 tahun selepas peristiwa bersejarah itu.

"Pelikkah? Kalau begitu bagaimana pula dengan guru sejarah yang menceritakan tentang sejarah kemerdekaan, teruknya orang Melayu lawan komunis dan sebagainya. Adakah guru itu sudah wujud zaman itu atau baru berumur setahun?

"Jika Ya! Macam mana dia boleh bercerita, makan kismis minda ke? Apa susu dia minum sampai jadi genius sangat umur setahun boleh ingat! Sudah tentulah guru tadi mengetahuinya dari mangsa keganasan komunis, dan mendapat maklumat dari orang yang hidup pada zaman tersebut.

"Jangan pula kita hentam guru tersebut hanya kerana dia belum ada atau baru umur setahun ketika tercetusnya sejarah itu. Kita juga tentu ada kisah waktu kecil yang diceritakan oleh ayah atau ibu dan kita cerita pula kepada kawan-kawan," ujarnya.

Tegasnya, Tun Mahathir dan Umno adalah orang yang bertanggungjawab di dalam isu ini kerana ketika peristiwa menyayat hati itu berlaku beliau merupakan Perdana Menteri dan juga Presiden Umno.

Di dalam tulisannya sebelum ini turut menyebut tiga nama pimpinan PAN kerana mereka merupakan antara penceramah utama isu Memali sebelum ini.

"Mereka sangat mengetahui apa yang terjadi kepada ayah saya dan mangsa yang lain, mereka juga boleh sahkan apa yang saya tulis, walaupun hari ini mereka bertiga sudah bersama Tun M dalam meja Pakatan Harapan yang pengerusinya adalah Tun M sendiri," katanya.

Jelasnya, peristiwa Memali tidak akan pernah dilupakan, bahkan terus diingati sebagai sejarah hitam kezaliman sang pemerintah yang gilakan kuasa dan apa yang berlaku ini tidak tertulis dalam buku sejarah negara yang dipelajari oleh pelajar sekolah rendah dan menengah.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.