Header Ads

Termahal dunia, Neymar sah milik PSG

Kelab bola sepak Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) hari ini, mengumumkan menandatangani perjanjian selama lima tahun dengan bintang sensasi Brazil, Neymar, lapor agensi berita China Xinhua.

Pemain berusia 25 tahun itu, dibeli daripada kelab Barcelona dengan harga 222 juta euro, sekali gus mencatatkan rekod pembelian terbaru dan menjadi pemain termahal dunia.

Pada tahun lalu, Paul Bogba menjadi pemain termahal selepas berpindah dari Juventus ke Manchester United dengan nilai perpindahan 105 juta euro.

"Saya amat gembira menyertai PSG. Sejak tiba di Eropah, kelab itu sentiasa mempamerkan semangat tinggi serta memberikan saingan.

"Semangat tinggi ditonjolkan PSG menarik minat saya menyertai kelab itu. Saya telah bermain selama empat musim di Eropah dan kini bersedia untuk menyahut cabaran," kata Neymar selepas menandatangani perjanjian.

Penyerang handalan itu dipilih menyertai pasukan kebangsaan Brazil sebanyak 77 kali dengan 52 jaringan gol selain merangkul 15 gelaran di peringkat kelab.

Dalam tempoh empat tahun bersama Barca, Neymar menjaringkan 105 gol dalam 186 perlawanan, memenangi dua La Liga, satu Liga Juara-Juara UEFA dan tiga gelaran Piala Sepanyol.

Menurut beberapa laporan, Neymar dijangka memperoleh pendapatan tahunan berjumlah 30 juta euro, tiga kali ganda pendapatannya semasa menyertai Barca.

Sementara itu, Presiden PSG Nasser Al- Khelaifi berkata, Neymar kini antara pemain terbaik dunia dan kedatangannya akan membantu meningkatkan lagi pencapaian kelab di arena bola sepak dunia.

"Cara berfikir, sikap serta semangat yang kuat menyuntik elemen positif kepada PSG," katanya.

Neymar bakal tampil dalam satu sidang media hari ini.

Meskipun belum pasti sama ada akan beraksi dengan PSG untuk musim baharu menentang Amiens esok, namun Neymar dijadual bertemu peminat sebelum perlawanan di Parc des Princes.

sumber Sinar Harian
Dikuasakan oleh Blogger.