Header Ads

[Video] Malaysia mudah ratah Myanmar, sah tempat ke separuh akhir

Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir Sukan Sea 2017 (KL2017) dengan penuh bergaya apabila menundukkan Myanmar 3-1 dalam aksi di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Perlawanan yang dijangka sukar buat pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berlaku sebaliknya apabila pemain negara dilihat tidak berdepan masalah mendominasi perlawanan.

Bagaimanapun, Myanmar terlebih dahulu menguji pertahanan negara yang diketuai Muhammad Adib Zainudin menerusi tandukan Aung Thu pada minit ke 17, namun hanya sedikit tersasar ke sebelah kiri gawang negara.

Malaysia mula menemui rentak bermula sepakan percuma Muhammad Irfan Zakaria yang singgah di tiang gol pada minit ke-28.



Dibantu sorakan hampir 65,000 penyokong, N Thanabalan memecahkan kebuntuan gol apabila meledak jaringan pada minit ke-33 berpunca keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol Myanmar.

Bagaikan tidak puas, skuad negara menambah satu lagi gol selang seminit selepas itu melalui Muhammad Safawi Rasid yang menyempurnakan hantaran lintang Kumaahran.

Minit ke-41 Thanabalan sekali lagi menghadirkan gerun buat pertahanan Myanmar melalui percubaan dari luar kotak penalti,namun sepakannya sedikit melambung tinggi.

Separuh masa kedua, skuad negara terus melakukan asakan sekali gus tidak memberikan ruang buat anak didik Gerd Zeise merencana gerakan.

Malaysia nyaris menambah gol ketiga pada minit ke -59,namun dua percubaan Matthew Davies dinafikan ketangkasan penjaga gol Myanmar Sann Sat Naing.

Salah faham pemain pertahanan negara pada minit ke-75 hampir mengundang padah namun kecekapan Muhammad Haziq Nadzli mengagalkan usaha Myanmar menjaringkan gol.

Thanabalan memastikan kemenangan selsea apabila menyudahkan hantaran silang pemain gantian, Muhammad Jafri Firdaus Chew pada minit ke-82.

Namun, di saat skuad negara hampir pasti mengekalkan keputusan tidak bolos untuk tempoh 90 minit, kesilapan kapten negara Adib Zainudin di minit-minit akhir perlawanan dihukum Than Paing untuk gol saguhati Myanmar.

Kedudukan kekal 3-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.





sumber sinar harian
Dikuasakan oleh Blogger.