Header Ads

Hubungan baik PAS dengan masyarakat Tionghua

PAS secara tradisinya mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat Cina (Tionghua) di Terengganu sejak dulu lagi.

Ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, PAS yang pernah dua kali memerintah Terengganu sentiasa berusaha menyegarkan persahabatan antara kaum di negeri ini.

“Pesta Peranakan Terengganu 2017 membolehkan masyarakat peranakan di Terengganu mempamerkan kebudayaan kaum mereka,

“PAS Kuala Terengganu mengalu alukan semua usaha yang baik dalam merapatkan hubungan antara kaum disamping boleh mengenali pelbagai kebudayaan sesuatu kaum bagi memupuk kesejahteraan hidup bermasyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengunjungi hari terakhir Karnival tersebut pada Rabu 30hb Ogos setelah berlangsung selama empat hari di Kampung Cina, Kuala Terengganu sejak 25hb.

Menurutnya, pesta ini adalah satu program apresiasi kepelbagaian budaya yg menampilkan masyarakat peranakan Terengganu dari kaum Cina yang telah berkurun menjadi sebahagian dari rakyat Terengganu, hidup saling menghormati dan harmoni.

“Allah menciptakan manusia dari pelbagai kaum dan bangsa supaya kita boleh hidup bersama dengan aman, saling kenal mengenal,

“Itu dituntut dalam Islam dan diberi pengajaran berterusan melalui para ulama,” jelasnya.

Justeru Amzad berkata, mereka yang paling beriman dan bertakwa, baik amalannya, sejahtera masyarakat oleh peribadinya, diangkat oleh Allah SWT darjatnya tanpa mengira dari kaum atau bangsa apa.

“Dalam lawatan selama 45 minit itu, kami singgah hampir semua gerai yang ada dan bertanya khabar,

“Serta berkongsi sama kemeriahan bersama masyarakat cina di Kampung Cina di mana Pesta Peranakan ini dilangsungkan,” katanya.

Turut sama ialah Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Bandar, Ustaz Ahmad Shah dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kuala Terengganu, Jefri Chua.

Sumber buletinonline.net
Dikuasakan oleh Blogger.