Header Ads

Sedarkah Guan Eng, DAP yang berisiko kehilangan Pulau Pinang

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mungkin mengalami sindrom kehilangan ingatan hingga mendakwa PAS mengalami risiko kehilangan Kelantan dalam PRU akan datang jika enggan menyertai Pakatan Pembangkang. Sedangkan pihak yang mula-mula memutuskan hubungan sesama parti di dalam Pakatan Rakyat ialah DAP.

Sudah lupakah Guan Eng bahawa DAP yang mula-mula mengisytiharkan putus dengan Presiden PAS pada tahun 2015? Di mana akhirnya membawa keretakan hubungan di dalam Pakatan Rakyat. Bagaimana pula hari ini PAS diminta berpakat sedangkan dahulunya Pakatan Rakyat berkubur kerana DAP tidak boleh menerima prinsip PAS?

Hakikatnya, DAP yang lebih wajib memikirkan nasib mereka di Pulau Pinang dalam situasi mereka hanya mempunyai 19 kerusi sahaja. Jumlah itu tidak cukup untuk menjadi kerajaan tanpa kerjasama dengan parti lain. Ia berbeza dengan PAS yang sudah mempunyai majoriti menguasai Kelantan pada hari ini walaupun secara tunggal.

Sedarkah Lim Guan Eng bahawa DAP juga mempunyai risiko kehilangan kerusi apabila kalah di kerusi yang ditandingi jika berlaku pertembungan tiga penjuru? Di kerusi DAP akan berlawan dengan MCA atau Gerakan sebagai contoh, pengundi Melayu Islam hampir pasti secara 'solid' akan memilih PAS sebagai alternatif mereka.

Lim Guan Eng hanya mendakwa PAS bakal kalah, tetapi tidak pula menyebut Pakatan Harapan bakal menang. Tentu beliau sedar bahawa pihak yang untung nanti apabila berlaku pertembungan tiga penjuru di Kelantan ialah Umno. Ia sekali gus menunjukkan dengan jelas siapakah yang memberikan nyawa tambahan kepada Umno-BN.

Satu-satunya kekurangan di Kelantan ialah, Menteri Besar dan exconya tidak mempunyai pengalaman ditahan oleh SPRM. Tidak seperti Pulau Pinang di mana Ketua Menteri dan salah seorang exconya telah mempunyai 'pengalaman berharga' ditahan dan didakwa oleh SPRM di mahkamah. Itulah satu-satunya 'kelebihan' DAP berbanding PAS di Kelantan.

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
Dikuasakan oleh Blogger.