Header Ads

Anda ingin mengundi berdasarkan fakta secara rasional?

PENTING FAKTA PANDUAN MENGUNDI SECARA RASIONAL

Anda ingin mengundi berdasarkan fakta secara rasional? Anda ingin hindari sentimen dan emosi? Parti manakah yang terbaik untuk anda undi? Berikut tujuh fakta kritikal yang boleh membantu anda mengundi secara rasional khusus menjelang 9 Mei 2018.

1. Fakta Rasuah: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bebas siasatan rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama sekali, berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang baru menguasai dua kerajaan negeri sudahpun mempunyai rekod siasatan sebanyak 21 kes. BN pula yang menguasai kerajaan persekutuan dan sepuluh kerajaan negeri memiliki 71 kes siasatan SPRM.

2. Fakta Kuasa Negara dalam Manifesto: Manifesto PAS mempunyai visi negara yang kuat, diikuti manifesto BN. Manifesto PH sebaliknya berusaha untuk mengurangkan kuasa negara, termasuklah memansuhkan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016. Manifesto PAS menepati kesemua empat komponen kuasa negara kuat menurut Fareed Zakaria dalam karya ‘From Wealth to Power’: autonomi negara, kesepaduan negara, keupayaan mengekstrak sumber, dan skop negara maximal.

3. Fakta Calon Berwibawa: Calon-calon PAS yang bakal menerajui kerajaan negeri secara majoritinya berwibawa. Empat calon ketua kerajaan negeri PAS memiliki ijazah Kedoktoran dan Doktor Falsafah (PhD), BN pula memiliki seorang calon berkelulusan PhD, sedangkan tiada seorang pun calon MB atau KM PH yang bergelar Doktor (Dr.).

4. Fakta Kestabilan Politik: PAS mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Hal ini terbukti apabila PAS berjaya menstabilkan krisis Menteri Besar Selangor 2014 dengan bekerjasama dengan tuntutan istana – bertentangan dengan PH yang keras mengusulkan hanya nama Datin Wan Azizah sebagai MB. PAS turut membuktikan bahawa mereka berupaya untuk menjadi ‘kingmaker’ dan blok ketiga yang berfungsi seperti bekerjasama dengan pentadbiran PH di Selangor, dan PAS Kelantan pula ada bekerjasama dengan kerajaan BN Pusat dalam beberapa perkara demi menjaga kepentingan rakyat Kelantan.

BN pula mengamalkan Politik Permuafakatan dengan kesemua parti komponen. Namun ia terdedah kepada perpecahan susulan persaingan Pemilihan UMNO. Kes Pemecatan Muhyiddin Yasin & Shafie Apdal, pertukaran MB Terengganu, isu Peguam Negara Ghani Patail, Pesuruhjaya SPRM, dan Bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz sedikit mencabar wibawa BN.

PH pula Kurang stabil. Hal ini berikutan proses rundingan dan tawar-menawar sepanjang masa sesama parti dan rentas parti. Contohnya ialah Fitnah ke atas Tan Sri Khalid Ibrahim, Azmin (PKR Selangor) yang mempertikai Tun Mahathir sebagai calon PM, agihan kerusi PRU, Amanah Perak dan Johor yang memboikot Konvensyen PH, konflik PPBM vs Amanah Terengganu. Selangor antara bukti nyata kegagalan PH menjamin kestabilan politik apabila mereka-reka ‘Langkah Kajang’ untuk menggulingkan pemimpin yang berkredibiliti, Tan Sri Khalid Ibrahim. Tan Sri Khalid jelas mengatakan beliau disingkir daripada PKR kerana enggan menyalurkan duit milik rakyat dan kerajaan Selangor kepada parti PKR. Dato’ Saifuddin Nasution bahkan memohon maaf kepada Tan Sri Khalid Ibrahim kerana memfitnah beliau. Rafizi Ramli yang mendatangkan 91 halaman dokumen fitnah juga tidak terlepas kerana mereka cerita bahawa Langkah Kajang adalah demi melindungi Selangor daripada serangan Tun Mahathir ketika itu. Sebaliknya hari ini mengangkat Tun Mahathir sebagai calon PM pula. Demikian juga rekod Tun Mahathir yang seringkali menggoyahkan kestabilan politik nasional dengan pengharaman UMNO 1988, krisis kuasa Raja-raja Melayu 1993, pemecatan dan tuduhan liwat Anwar Ibrahim, krisis dengan Pak Lah, serta terkini penubuhan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

5. Fakta Parti Paling Dominan dan Berkuasa: PAS jelas mengetuai Gagasan Sejahtera di mana proses pembuatan keputusan dan Order Majlis Syura PAS adalah yang tertinggi. Ia dianggotai gabungan Teknokrat Profesional dan Ilmuwan berwibawa. Dalam isu Rang Undang-undang 355 (RUU355) misalnya PAS bebas untuk membawa usul berkenaan untuk dibincang dan ditambahbaik tanpa bantahan dan sekatan mana-mana pihak. UMNO pula menguasai BN di mana Order Majlis Tertinggi UMNO adalah disokong penaungan Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan. Dalam kes PH pula tiada order yang tetap dan jelas apabila ia bergantung pada Pergolakan Individu tertentu seperti Tun Mahathir, Anwar Ibrahim, Azmin Ali, Mukhriz Mahathir, Rafizi Ramli, dan lain-lain. DAP pula meskipun sedikit dari segi bilangan kerusi namun cukup agresif dan dominan dengan sebarang agenda yang bertentangan dengan pendirian mereka akan diketepikan dalam dasar PH.

6. Fakta Kepentingan Rakyat: PAS mengutamakan cukai ke atas golongan berada dan berpendapatan tinggi berbanding cukai ke atas semua golongan secara pukal. Hal ini boleh dilihat dengan pengenalan Cukai saham dan Cukai simpanan korporat. Pelan Kerajaan Teknokrat PAS dengan kepakaran bidang berpotensi menjamin perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

BN pula bertegas mempertahankan cukai Barang dan Perkhidmatan GST pada kadar 6% tanpa mengira kadar pendapatan rakyat keseluruhan. BN turut memperkenalkan Dasar Transformasi Nasional meliputi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi yang inklusif dan mapan. Namun ia dibelenggu isu ketiadaan agihan Royalti Petroleum kepada negeri Terengganu dan Kelantan, di samping dilema hutang dan hartanah China yang semakin agresif melaksanakan perancangan OBOR mereka.

PH pula menjanjikan pengenalan kembali cukai SST yang dijangka tidak mampu mengatasi inflasi sedia ada. Sememangnya PH ada memperkenalkan Inisiatif Peduli Rakyat, namun secara keseluruhannya kepentingan individu, parti, dan kapitalis lebih diutamakan berbanding kepentingan rakyat. Cukup bukti berikut: Langkah Kajang yang dilakukan demi mengangkat Anwar Ibrahim (kemudiannya Datin Wan Azizah) menjadi MB mengetepikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang kompeten; krisis air Selangor akibat krisis pengambilalihan Splash yang tidak berkesudahan; pembinaan tidak mesra alam sekitar Pulau Pinang; kilang-kilang haram yang beroperasi di Pulau Pinang hingga menjejaskan kesihatan rakyat. Malah ADUN PKR sendiri, Dr. Norlela Ariffin dikecam kerana mengadu berkenaan kilang haram tersebut.

7. Fakta Visi Jangka Masa Panjang: PAS menawarkan Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051; BN pula menawarkan Transformasi Nasional 2050; manakala PH Tiada sebarang perancangan jangka panjang sama sekali.

Selamat Mengundi.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Dikuasakan oleh Blogger.