Header Ads

Najib gembira Guan Eng berterus terang kedudukan rasmi hutang negara

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gembira dengan tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang akhirnya berterus terang mengenai hutang rasmi Kerajaan Persekutuan yang berkadar 50.8 peratus dan bukan 65 peratus atau RM1 trilion seperti dakwaan sebelum ini.

Najib, menerusi kenyataan dalam blog rasminya, NajibRazak.com berkata, hutang negara berkadar 50.8 peratus berbanding KDNK atau RM686.8 bilion malah kadar semasa hutang negara jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan zaman pemerintahan awal Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu 103.4 peratus.

Menurutnya, kerajaan terdahulu jelas telah mematuhi garis panduan laporan antarabangsa mengenai hutang awam seperti digariskan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

Justeru, katanya, perangkaan 50.8 peratus itu ialah pengukuran yang diterima secara universal.

“Kewajipan seperti pelbagai bentuk jaminan tidak pernah dijadikan ukuran rasmi dalam menentukan hutang kerajaan, malah dasar itu turut dilaksana ketika zaman pemerintahan Mahathir.

“Pemberian jaminan kepada entiti tertentu milik kerajaan pula bertujuan untuk membantu mengurangkan pembiayaan kos mereka dan ia selalunya bersifat jangka panjang di disokong aset yang berkemampuan untuk menjana pendapatan.

“Bagi Perkongsian Awam Swasta (PPP) dan cagaran Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) pula ialah perbelanjaan operasi dan bukan hutang. Malah ia diperlukan untuk kemudahan sosial termasuk sekolah, balai polis, hospital, universiti dan sebagainya,” katanya.

Najib berkata, kerajaan terdahulu sentiasa telus dan tidak pernah menyembunyikan semua perangkaan seperti yang didedahkan Guan Eng, malah ia diterbitkan dalam laporan Jabatan Perbendaharaan, Bank Negara Malaysia, Jabatan Akauntan Negara dan Ketua Audit.

Katanya, para penganalisis pasaran, pakar ekonomi dan pelabur turut maklum dengan perangkaan ini yang diakui masih dalam kawalan serta berupaya diuruskan seperti disahkan sendiri oleh Guan Eng.

“Oleh itu, kita tidak menyembunyikan hutang RM300 bilion atau memalsukan sebarang perangkaan seperti yang didakwa.

“Dengan kebenaran mengenai isu ‘hutang negara RM1 trilion’ telah diperlihatkan, kita mengucapkan tahniah kepada kerajaan baharu kerana menyebabkan pasaran pertukaran saham merudum teruk minggu ini, mencakupi pola negatif untuk 14 hari berturut-turut dalam aliran modal asing.

“Pertikaian ini juga menyaksikan pelabur dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Khazanah Nasional dan Tabung Haji mengalami kerugian. Saya harap dan berdoa agar menteri kerajaan Pakatan Harapan akan lebih berhati-hati kenyataan mereka pada masa depan,” katanya.

Sumber Sinar Harian
Dikuasakan oleh Blogger.