Header Ads

Siasat segera dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull
Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Kenyataan Datuk Shukri Abdull bahawa beliau terpaksa meninggalkan Malaysia kerana merasa nyawanya terancam ketika mengetuai siasatan ke atas skandal kewangan berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB 3 tahun lalu perlu dibuktikan kebenaran. Dakwaan beliau begitu menggemparkan negara dan meletakkan negara di bawah cengkaman pemimpin ‘kuku besi’ di era Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

2. Apa yang disebut beliau termasuk tindakan diugut, diekori, ditukar, dipecat dan beliau hampir mati sehingga terpaksa melarikan diri ke Washington serta terpaksa meminta bantuan polis New York kerana bimbang dirinya ditahan ketika mengetuai siasatan tersebut adalah pendedahan yang begitu besar kesannya terhadap negara. Ini kerana, kenyataan beliau disiarkan oleh media di seluruh negara dan mungkin telah tersebar ke negara lain. Besar kemungkinan, nama Malaysia terpalit dengan imej yang begitu memalukan kerana pemimpin terdahulu yang memerintah menggunakan kekerasan melalui kuasa terhadap penjawat awam.

3. Apa yang diharapkan adalah kerajaan berlaku adil terhadap dakwaan Datuk Shukri Abdull. Siasatan secara telus dan menyeluruh perlu dilakukan bagi membuktikan kebenaran kenyataannya. Dalam hal ini, tidak adil untuk terus menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh hanya mendengar pendedahan melalui kenyataan media tanpa pembuktian terhadap dakwaannya. Tertuduh perlu dibenarkan membela diri bagi menjawab tuduhan terhadapnya. Proses undang-undang perlu dilalui bagi memastikan tiada pihak dizalimi.

4. Jika dakwaan beliau benar, tindakan tegas dan keras mesti diambil di atas kebejatan yang dilakukan rejim terdahulu. Kesemua tindakan termasuk memeras, mengugut, menukar, dan memecat anggota penjawat awam terutama terhadap SPRM yang bertugas menyiasat skandal kewangan besar Datuk Seri Najib adalah tindakan luar batasan dan dianggap pelanggaran kuasa yang sangat serius. Selain skandal 1MDB yang begitu besar, pelanggaran kuasa seperti yang didakwa oleh Datuk Shukri juga adalah kesalahan yang sangat serius.

5. Kerajaan mesti bertanggungjawab memulihkan segera institusi kerajaan yang disalahguna. Nama Malaysia perlu dibersihkan dari reputasi yang buruk ketika ini. Justeru, pendakwaan segera terhadap pesalah yang merosakkan negara perlu dibuat dalam tempoh terdekat. Kerajaan ini mesti berlangsung dengan adil, telus, dan mempamerkan pelaksanaan yang jauh berbeza daripada rejim BN terdahulu. PAS dan rakyat akan sentiasa memerhati, menjadi penyemak dan pengimbang (check and balance) agar kerajaan sentiasa berjalan di atas landasannya yang betul.

(Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat)
Dikuasakan oleh Blogger.