Header Ads

Surat terbuka: Kehebatan Presiden PAS berbanding Presiden komponen PH

Surat Terbuka Kepada Presiden Parti Komponen Pakatan Harapan

“Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku bendahara negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan” (Yusuf: 55)

Ke hadapan Tuan dan Puan Presiden,

Kita sedia maklum bahawa PRU ke-14 ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara penyandang (incumbent), iaitu Barisan Nasional; dan dicabar oleh dua blok kerajaan menunggu (government in-waiting), iaitu Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera.

Ternyata di dalam pertembungan tiga penjuru ini, peluang untuk BN mengekalkan kuasa dilihat sukar, namun kebarangkalian untuk PH mahupun Gagasan Sejahtera mencipta kemenangan pula masih samar.

Apapun keputusan yang bakal dibuat oleh pengundi pada 9 Mei 2018 ini, semuanya adalah di dalam ilmu dan ketentuan Allah, dan sewajarnya kita menerima ketetapan itu dengan penuh redha dan sabar.

Tuan dan Puan Presiden,

Pilihanraya kali ini menyaksikan pola sokongan rakyat dan anak muda terbahagi kepada tiga blok utama.

Di ufuk kanan adalah UMNO dan sekutunya, yang menjadi simbol sebuah kerajaan yang terpalit dengan skandal rasuah dan salahguna kuasa yang tidak berkesudahan. Di ufuk kiri pula adalah DAP dan sekutunya, yang menjadi simbol politik fitnah dan permusuhan, bercanggah dengan nilai-nilai ketamadunan Melayu dan keharmonian kaum dalam negara.

Di tengah kedua-dua ufuk tersebut adalah sekelompok rakyat, NGO, gerakan sivil, dan anak muda yang menolak politik wang yang korup dan politik fitnah yang sempit, yang majoritinya mendambakan suasana politik yang lebih sihat, matang dan sejahtera.

PAS dan Gagasan Sejahtera memilih untuk bersama kelompok pertengahan ini, yang insyaAllah akan menjadi kuasa penentu pada 9 Mei 2018 ini, bagi memilih pemimpin dan kerajaan yang benar-benar bersih dan berkebajikan kepada rakyat.

Tuan dan Puan Presiden,

Besarlah harapan kami anak muda untuk melihat dan menilai idea segar kalian.

Di mana gagasan visi bernegara PH untuk masa hadapan melangkaui Wawasan 2020, serta di mana dasar dan polisi kalian bagi membangunkan ekonomi, mengangkat martabat agama Islam, mencipta peluang pekerjaan, mambangunkan ekonomi desa, serta agenda berkebajikan terhadap wanita, anak muda, pelajar, petani dan peneroka.

Inilah tugas sebenar Presiden sebuah parti yang menunggu untuk mengambil-alih kerajan. Lontarkan idea, kongsikan visi dan misi, gariskan dasar dan polisi. Presiden sesebuah parti tidak perlu sibuk menuduh dan membicarakan fitnah yang bersifat picisan, atau menangis dan merayu bagi menagih simpati, hingga tidak menyerlahkan sifat negarawan di kalangan kalian.

Lihatlah Presiden PAS, yang sentiasa sibuk menulis, berucap, bersyarah dan berbahas tentang dasar negara, undang-undang, ekonomi, sosial, pendidikan, alam sekitar, nasib petani dan nelayan, serta isu ummah dan geopolitik antarabangsa. Di samping itu, beliau menjadi contoh nilai integriti dan kompetensi yang tinggi, yang perlu dimiliki seseorang pemimpin, menyerlahkan sepenuhnya sifat seorang negarawan.

Justeru, dalam tempoh berbaki menjelang hari pengundian, kami anak muda mahu melihat kelayakan dan kemampuan kalian, untuk berbicara soal dasar negara dan rakyat, secara spontan dan terbuka. Ini adalah penting untuk kami menilai tahap pemikiran pemimpin Pakatan Harapan, berbanding tahap pemikiran Presiden PAS dalam membicarakan dasar negara dan kebajikan rakyat secara spontan.

Pepatah Inggeris ada menyebut, “Great minds talk about ideas, average minds talk about events, and small minds talk about people”.

Kami yakin Presiden PAS memiliki sifat ‘great minds’ yang sangat diperlukan negara, dan kalian perlu buktikan bahawa tahap pemikiran pemimpin Pakatan bukannya bersifat ‘average minds’, apatah lagi di takuk pemikiran ‘small minds’ yang tidak membina.

Kami anak muda, menantikannya.

#UndiDenganBijak
#UndiYBRakyat

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi Pemuda PAS
5 Mei 2018

#MalaysiaSejahtera
#KerajaanTeknokrat
#PRU14
#CreateABetterMalaysia
#UP #UnitingProfessional
Dikuasakan oleh Blogger.