Header Ads

Tahniah rakyat, sejarah paling besar negara selepas merdeka

1) TAHNIAH saya ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah keluar beramai-ramai pada 9 Mei 2018 untuk melaksanakan kewajiban mengundi bagi memilih pemimpin negara.

PAS sentiasa mengajak rakyat untuk memahami kewajiban mengundi sebagai satu kewajiban agama yang tidak boleh diabaikan. Semakin kesedaran politik di kalangan rakyat meningkat, semakin bertambah baiklah masa depan rakyat dan negara dengan para pemimpinnya yang berkualiti.

2) Tahniah juga saya ucapkan kepada rakyat Malaysia yang telah secara berani dan tekad memilih untuk menukar kerajaan di bawah BN kepada sebuah kerajaan baru dengan harapan memperolehi pemerintahan yang lebih baik. Ia adalah sejarah negara yang paling besar selepas kemerdekaan.

PAS menunggu hampir 30 tahun selepas melakukannya di Kelantan pada 1990. Kecekalan rakyat Kelantan bertahan lama menongkah arus dan tekanan daripada kerajaan pusat di Putrajaya sedikit demi sedikit membuahkan hasil. Keberanian dan tekad itu akhirnya merebak ke beberapa negeri, seterusnya memuncak pada PRU14.

3) Beribu tahniah saya ucapkan kepada rakyat Kelantan yang terus istiqamah mengundi PAS. Kelantan akan kekal sebagai negeri yang diperintah parti pembangkang paling lama dalam sejarah Malaysia.

Kelantan dan rakyatnya akan kekal menjulang Islam sebagai 'ad din' iaitu sebagai satu cara hidup, seterusnya menjadikan Kelantan sebagai model kecil sebuah pemerintahan yang menjadikan Islam sebagai teras keadilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

4) Beribu tahniah juga saya ucapkan kepada rakyat negeri Terengganu yang telah memilih PAS untuk kembali menerajui kerajaan negeri. Ia adalah satu keputusan terpuji demi sebuah pemerintahan Islam yang adil dan sejahtera.

Terengganu akan bersama Kelantan seiring sejalan membina keyakinan rakyat untuk kembali kepada Islam yang benar dan syumul.

Kedua-dua Dun negeri ini juga akan menjadi Dun tanpa pembangkang dari kerajaan pusat.

5) Kalungan tahniah buat rakyat negeri Kedah yang turut mengundi PAS sehingga hampir mencapai kemenangan untuk kali ke-2.

Semasa saya menulis ini, kerajaan negeri Kedah masih belum dapat dibentuk. Didoakan semoga ada penyelesaian terbaik di Kedah. Begitu juga di negeri Perak yang turut tergantung.

6)Kalungan tahniah juga saya ucapkan kepada rakyat negeri Pahang kerana memberikan pertambahan kerusi kepada PAS di Dun Pahang. Ia adalah petanda yang amat positif kepada PAS untuk terus mara di negeri Pahang Darul Makmur.

7) Kalungan tahniah juga kepada PAS negeri Perlis, Johor, Selangor dan Pulau Pinang kerana berjaya memenangi satu Dun di negeri masing-masing (2 kerusi di Perlis).

Johor menjanjikan kebangkitan PAS yang lebih gagah insya Allah.

8) Seterusnya, jutaan tahniah saya ucapkan kepada jentera PAS di seluruh negara yang telah bekerja keras dan berpenat lelah mencurahkan segala keringat dan bakti dengan penuh ikhlas tanpa mengharapkan upah dan balasan.

Jentera PAS yang terdiri daripada ahli dan penyokongnya adalah menara dan simbol kepada perjuangan Islam yang sentiasa menampilkan teladan dan kebaktian.

9) Tahniah khas daripada saya buat seluruh jentera PAS kawasan Bachok. Tanpa anda yang penuh budiman, bukan mudah untuk kita menumpaskan seorang daripada tiga figura besar Umno Kelantan.

10) Semoga Allah membalas jasa semua hamba-Nya yang beriman dan bekerja demi agama-Nya dengan sebaik-baik ganjaran.

Tiada apa yang rugi apabila kita berada di jalan istiqamah.

Allahu akbar wa liLlahil hamd.

Oleh NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ

Dikuasakan oleh Blogger.