Header Ads

YB Syed Sadiq terlupa atau pelupa?

Saya menonton sebahagian video Ahli Parlimen Muar, YB Syed Sadiq yang menyatakan kekecewaannya apabila wakil PAS sentiasa mengelak untuk berwacana.

PAS dikatakan juga sentiasa mempertahankan UMNO dan Barisan Nasional serta tidak mempunyai penyelesaian terhadap masalah negara melainkan hanya berkata "kembali kepada Islam.."

Saya tidak mahu ulas pengalaman beliau dengan orang lain namun saya kira tentu YB Syed Sadiq masih ingat bahawa kami pernah berwacana bersama di Sinar Harian atas tajuk : Politik Malaysia Di Mana Melayu? Tentunya beliau masih ingat bahawa di dalam forum itulah saya menyebut dengan terang dan jelas bahawa UMNO sudah tidak layak bercakap berhubung pembelaan terhadap Melayu.

Tentunya beliau masih ingat dengan jelas bagaimana wakil UMNO kelihatan berusaha untuk 'team up' dengan saya di pusingan yang pertama namun akhirnya terpaksa akui bahawa saya sama sekali tidak bersama beliau.

Saya selaku wakil Pemuda PAS tidak pernah undur jika diminta untuk berwacana. Di Kelantan, saya pernah menerima jemputan wacana dari sahabat-sahabat Aktivis, sepentas dengan wakil dari PKR, AMANAH dan Bersatu. Tiada masalah selagi tidak terhalang dengan komitmen terhadap program lain.

Saya lihat bahawa YB Syed Sadiq agak berhati-hati untuk menyerang PAS, mungkin beliau mempunyai 'reserve' yang tersendiri. Namun menyatakan bahawa PAS sentiasa lari dari wacana, saya kira ia satu pandangan yang kurang adil.

Yang membezakan saya dengan YB Syed Sadiq ialah selepas wacana tersebut, saya lihat beberapa kali beliau berwacana di Sinar Harian manakala saya pula, itulah yang pertama dan terakhir setakat ini.

Di pihak kami Pemuda PAS, saya boleh menyebut bahawa kami mempunyai puluhan lagi tokoh yang boleh diketengahkan atas apa jua tajuk jika ingin berwacana. Bermula Ketua Pemuda YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Timbalan Ketua Pemuda Ir Haji Khairil Nizam Khirudin, saudara Syahir Sulaiman dan ramai lagi yang boleh dibariskan.

Pentas Sinar Harian bukanlah satu-satunya wacana di Malaysia ini. Tidak muncul di Sinar Harian bukan bererti tidak muncul di wacana yang lain.

Selamat bersua di Dewan Rakyat, saudara saya YB Syed Sadiq.

YB Ustaz Ahmad Fadhli Bin Shaari
Ahli Parlimen Pasir Mas
Dikuasakan oleh Blogger.