Header Ads

265,149 daripada 433,708 peminjam PTPTN dikeluarkan daripada senarai hitam

Seramai 265,149 daripada 433,708 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen, setakat semalam.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata baki 168,559 peminjam lagi dijangka dapat dikeluarkan daripada sistem senarai hitam pada 15 Jun ini.

"Kemudahan pelepasan sekatan ke luar negara bagi peminjam ini terpakai pada mereka yang nama masih di dalam sistem, dan kesemua pintu masuk negara sudah dimaklumkan.

"Bagi individu disenaraihitamkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pula, dibenarkan ke luar negara tanpa sekatan bermula 1 Jun lalu selaras surat arahan agensi diterima Jabatan Imigresen pada tarikh sama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke Jabatan Imigresen, di Putrajaya, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, dilaporkan sebagai berkata kira-kira 433,000 peminjam PTPTN sedang dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen melalui proses pemutihan secara berperingkat mulai 24 Mei lalu hingga 15 Jun ini.

Dr Maszlee berkata, PTPTN menyenarai hitam satu juta peminjam tetapi kira-kira 655,000 daripadanya sudah membuat pembayaran membabitkan kutipan kira-kira RM1.9 bilion dan keluar daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, perkara itu diputuskan Menteri Pendidikan selaras manifesto Pakatan Harapan (PH).

"Ini bermakna mereka boleh ke luar negara dan tidak ada sekatan berbanding sebelum ini," katanya.

Hingga kini, beliau berkata, rekod dalam sistem senarai hitam Jabatan Imigresen mencatatkan seramai 636,202 orang masih disenaraihitamkan oleh agensi lain.

Sementara itu mengenai perkembangan kes Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang melarikan diri daripada pihak berkuasa, Muhyiddin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk memburunya.

"Kita masih memburu Jamal. Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) juga memaklumkan kepada saya bahawa PDRM sudah memohon bantuan pihak kedutaan Indonesia, yang mana kita memerlukan kerjasama negara itu bagi mengesan Jamal," katanya.

Berita Harian
Dikuasakan oleh Blogger.