Header Ads

Harga minyak dunia susut

Harga minyak terus mencatatkan penyusutan daripada minggu lalu susulan China memberi amaran untuk mengenakan cukai terhadap import minyak mentah Amerika Syarikat (AS) berikutan peningkatan kemelut perdagangan dengan Washington.

Sementara itu, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Russia turut dijangka meningkatkan bekalan minyak mentah.

Niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) mencecah paras terendahnya sejak April, susut kepada AS$63.59 satu tong sebelum meningkat kepada AS$69.98 pada 0635 GMT.

Ia masih lebih rendah AS$1.07, atau 1.6 peratus dari penutup terakhirnya.

Harga minyak antarabangsa turut menyusut dengan niaga hadapan minyak mentah Brent susut 46 cents, atau 0.6 peratus kepada AS$72.98 satu tong.

Ini adalah tindak balas daripada laporan bahawa pembekal utama, Arab Saudi dan Russia dijangka akan meningkatkan pengeluaran minyak.

"Harga minyak menyusut dalam tempoh tiga minggu lalu berikutan kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran minyak oleh OPEC," kata Goldman Sachs AS.

Katanya, harga minyak turut menerima tekanan daripada permintaan lemah daripada ekonomi yang sedang membangun serta kemelut perdagangan berterusan dan peningkatan inventori.

OPEC yang diketuai Arab Saudi serta negara bersekutu termasuk Russia mula melaksanakan sekatan pengeluaran minyak sejak awal 2017.

Mereka akan bertemu di Vienna pada 22 Jun ini untuk membuat keputusan sama ada untuk meneruskan dasar pengeluaran, dengan Russia dan Arab Saudi sedang meningkatkan jumlah pengeluaran minyak.

-Reuters
Dikuasakan oleh Blogger.