Header Ads

Kerajaan Persekutuan setuju serah royalti minyak kepada Terengganu

Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan royalti minyak sekurang-kurangnya lima peratus terus kepada negeri pengeluar, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2018 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, Dr Mahathir memaklumkan negeri-negeri berkaitan termasuk Terengganu akan menerima wang royalti minyak terus kepada kerajaan negeri.

“Ia dipersetujui secara prinsip. Quantum akan dibincang selepas ini. Yang penting (wang royalti) terus kepada kerajaan negeri.

“Ini janji kerajaan Persekutuan. Seluruh rakyat Teregganu mengucapkan terima kasih atas komitmen kerajaan pusat menyalurkan royalti secara terus,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu.

Mesyuarat Majlis Kewangan Negara itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

- Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.