Header Ads

Pejuang kemerdekaan: Sejarah sangkal tuduhan Tun M terhadap PAS

Pas tidak pernah ‘menolak’ kemerdekaan seperti didakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam catatan di blognya, semalam.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, rekod sejarah ditemui beliau menunjukkan Pas menyokong ke arah kemerdekaan Malaya.

Malah, katanya, Mesyuarat Agung Pertama parti tersebut di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 3 Januari 1953 memilih ‘merdeka” sebagai cogan kata Pas.

“Mesyuarat itu juga telah meluluskan tujuh rancangan politik Pas yang dua daripadanya adalah ‘memperkenalkan kemerdekaan tulen kepada rakyat, menanamkan semangatnya dan menunjukkan cara-cara mencapainya’.

“Selain itu, Pas juga mahu ‘menegakkan sebuah negara merdeka yang didirikan oleh rakyat, daripada rakyat, kerana rakyat.

“Atas pertimbangan kemerdekaan, Pas juga telah menghantar dua individu menghadiri Persidangan Kebangsaan anjuran 16 orang terkemuka termasuk tujuh menteri besar,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya.

Katanya lagi, meskipun Pas tidak lagi menyertai Perhimpunan Kebangsaan bermula 11 Oktober 1953, ia bukanlah bermakna parti itu tidak bersetuju dengan tuntutan kemerdekaan.

“Berakhirnya penyertaan Pas dalam Perhimpunan Kebangsaan bukanlah disebabkan Pas tidak bersetuju atas tuntutan kemerdekaan.

“Tetapi ia adalah disebabkan kedua-dua wakil parti membantah cadangan jawatankuasa perhimpunan memperluaskan hak mengundi kepada penduduk yang belum diakui taraf mengikut dasar jus soli,” ujarnya.

Katanya lagi, Pas terbukti tidak menolak kemerdekaan kerana dalam mesyuarat kali kelima di Kuala Lumpur pada 1956, Pas meluluskan usul supaya tarikh kemerdekaan tidak berganjak dari 31 Ogos 1957.

“Malah, sebelum itu, manifesto Pas dalam PRU1955 jelas menyebut ‘wakil rakyat Pas akan berusaha dan berikhtiar bersungguh-sungguh bagi mencapai kemerdekaan Malaya dengan secepat mungkin.

“Dalam mesyuarat kali keenam pula, Pas meluluskan usul menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang berjuang sehingga lahirnya kemerdekaan Tanah Melayu,” jelasnya.

Justeru, katanya, berdasarkan rekod sejarah tersebut maka tidak tepat kenyataan mengatakan Pas menolak kemerdekaan atau mendakwa Malaya belum layak mendapat kemerdekaan.

sinar harian
Dikuasakan oleh Blogger.