Header Ads

Tampil dedahkan bukti atau kamu pondan?

Pemuda Pas menggesa golongan yang mendakwa telah melihat sendiri cek yang diterima pemimpin Pas supaya segera membawa bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihak yang sebelum ini mendakwa mempunyai bukti Pas menerima dana RM90 juta daripada UMNO itu tidak lagi perlu menjadi pondan dan penakut atas alasan kekangan undang-undang kerana tampuk kerajaan sudah berubah.

"Saya cabar pihak yang lihat dengan mata kepala sendiri melalui berita yang dibawa jin mereka supaya tampil ke depan hari ini, cek Affin Bank dan sebagainya.

"Saya cabar jangan jadi pondan, bacul pengecut, kamu harus tampil ke hadapan beri bukti kepada SPRM, bahawa Pas terima rm90 juta sebagaimana didakwa, dulu kamu berselindung di bawah pelbagai akta kononnya pendedahan tak boleh dibuat.

"Hari ini Pakatan Harapan (PH) sudah jadi kerajaan, kalau individu ini masih gagal beri bukti RM90 juta sebagaimana didakwa, maka kita boleh buat kesimpulan bahawa pihak seperri ini hanyalah pondan yang tak laku dalam politik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pemuda Pas negeri melalui seorang ahlinya, Mohd Suhaizi Kadir, membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu supaya siasatan dilakukan ke atas dakwaan DAP menerima dana pihak asing di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai rakaman audio suara Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz telah disahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, Ahmad Fadhli berkata, ia tidak membuktikan Pas menerima dana RM90 juta daripada UMNO.

"Sama ada rakaman itu benar atau tidak ia tidak boleh menjadi bukti bahawa Pas menerima dana RM90 juta dan ia tidak berbangkit," katanya.

Semalam, Takiyuddin dilaporkan berkata, rakaman suara mengenai Pas menerima duit UMNO itu telah diakui Nik Mohamad Abduh sendiri namun konteks sebenar perbualan tersebut hanya diambil 'separuh jalan' dan tidak sebagaimana dicanang musuh politik Pas.


UTUSAN ONLINE
Dikuasakan oleh Blogger.