Header Ads

Malaysiakini semakin menjunam

SAYA telah mengikuti portal berita Malaysiakini sejak zaman portal itu wujud di era Reformasi yang dipelopori oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Ketika itu, Malaysiakini menjadi sumber berita alternatif yang memberitakan isu-isu semasa tanpa berpihak.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan ketika itu, Malaysiakini adalah pelopor portal berita alternatif di Malaysia. Corak pemberitaan Malaysiakini ketika itu, lebih kepada melaporkan berita sesuatu peristiwa atau kenyataan akhbar tokoh tertentu, dan menghindarkan propaganda mewakili pihak tertentu.

Ketika itu, populariti Malaysiakini mengatasi mana-mana portal berita yang lain seperti yang disenaraikan oleh Alexa dan seumpamanya. Pada pemerhatian saya, Malaysiakini mula mendapat kepercayaan rakyat Malaysia menjelang PRU ke-12 tahun 2008.
Bagaimanapun, saya mula skeptik dengan Malaysiakini selepas keluar laporan yang menyatakan portal berita itu merupakan salah satu pihak yang menerima dana National Endowment for Democracy (NDI). Selepas PAS tidak lagi bersama DAP dan PKR saya terus tidak lagi membuka Malaysiakini, apabila PAS dijadikan sasaran propaganda pihak-pihak tertentu melalui portal berita itu.

Selepas PAS berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN), bukan sahaja PAS yang dijadikan sasaran, tetapi pimpinan PAS yang menjadi Menteri dan Timbalan Menteri juga dijadikan fokus sasaran. Sejak bulan Mac lalu sudah beberapa kali, kami meminta mereka membetulkan tajuk dan ada juga kandungan pemberitaan yang bertujuan mewujudkan persepsi negatif.

Yang terbaru, Malaysiakini memilih tajuk yang provokatif daripada ucapan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, seolah-olah menggambarkan PAS ‘hipokrit’ sewaktu menjadi pembangkang dalam isu RUU355. Wartawan Malaysiakini berkerja keras untuk membina naratif yang mereka kehendaki daripada ucapan Dato’ Tuan Ibrahim tersebut.

Corak pemberitaan yang seperti ini saya yakin tidak boleh memperbodohkan masyarakat awam. Bukan semua pembaca Malaysiakini sebelum ini tegar DAP, PKR atau PAN, justeru mereka sudah mula beralih daripada Malaysiakini. Populariti Malaysiakini mula merosot berbanding Malaysiagazette dan The Star Online. Selamat menjunam Malaysiakini.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Dikuasakan oleh Blogger.