Header Ads

Sangat melampau jika rakyat Malaysia tidak paham bahasa rasmi negara



Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara yang termaktub dalam pecahan (6) Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang mesti diguna dalam pentadbiran di semua peringkat termasuk kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa awam.


Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof DatO’ Dr Awang Sariyan, berkata Malaysia sudah 63 tahun mencapai kemerdekaan dan sangat tidak wajar untuk mana-mana pihak tidak memahami bahasa Melayu.

“Sesudah 63 tahun merdeka tidak wajar ada alasan untuk mana-mana pihak tidak memahami bahasa negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Beliau berkata demikian bagi mengulas langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan portal dalam bahasa Mandarin bagi suruhanjaya itu, Sabtu lalu.


Menurutnya, SPRM sebagai badan berkuasa awam mesti menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, termasuk dalam portalnya.


“Sesudah Mandarin, adakah SPRM akan memenuhi keperluan kaum-kaum lain atas alasan tidak memahami bahasa kebangsaan? Soalnya.


Sabtu lalu, SPRM menyatakan, portal dalam bahasa Mandarin itu dilancarkan bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya itu.


Badan itu berkata, ia diharap dapat meningkatkan lagi keyakinan dan pengetahuan masyarakat Cina terhadap SPRM serta agenda anti rasuah, selain menyebar luas mesej pendidikan pencegahan rasuah.


Jelas Awang, pendekatan itu dan beberapa lagi perkara lain yang memberikan isyarat jelas bahawa kerajaan perlu lebih tegas dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan.


Katanya, ia termasuk syarat kewarganegaraan dan pelaksanaan ujian bahasa kebangsaan yang membolehkan warganegara mengikuti kursus bahasa kebangsaan berdasarkan pencapaian dalam ujian itu.


“Pada tahun 1960-an dahulu ada kelas dewasa untuk celik huruf masyarakat di luar bandar dan kaedah yang sama boleh digunakan untuk kelas bahasa kebangsaan kepada masyarakat umum,” jelas Awang lagi.


Beliau yang juga Penyandang Kursi Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris, berkata pihak DBP sudah lama menyediakan Ujian Kecekapan Bahasa Melayu (UKBM) dan modul kursus bahasa untuk pelbagai peringkat, termasuk untuk warganegara Malaysia, selain pelajar dan pekerja asing.


sumber harakah

Dikuasakan oleh Blogger.