Header Ads

Abhisit gagal berunding dengan pasukan 'baju merah'

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva, dan kumpulan 'Baju Merah' gagal mencapai kata sepakat bagi mengadakan rundingan bagi mengakhiri tunjuk perasaan yang telah memasuki hari kelapan semalam.

Encik Abhisit mengulangi tawarannya untuk mengadakan rundingan dan merancang menghantar dua menteri Kabinet bertemu dengan kumpulan antikerajaan itu hari ini.

(LUKISAN BERDARAH: Para penyokong Encik Thaksin menghasilkan lukisan
dan sajak daripada darah di atas kanvas di Bangkok, semalam. -Foto Reuters)


Namun, para pemimpin 'Baju Merah' yang menyokong mantan Perdana Menteri, Encik Thaksin Shinawatra, berkata mereka hanya sedia berunding dengan Encik Abhisit dan menetapkan syarat agar Parlimen dibubarkan.

Encik Abhisit bagaimanapun tetap bertegas dengan berkata:

'Mereka boleh berbincang dengan saya tetapi sebelum ia mencapai peringkat itu mereka harus menemui wakil saya dulu untuk berbincang mengenai apa yang ingin dirundingkan.'

Sementara itu, dua letupan kecil dilaporkan berlaku di Bangkok dan satu wilayah berdekatan kelmarin, selang beberapa jam selepas ribuan penunjuk perasaan antikerajaan mengadakan perarakan di ibu kota Thailand.

Jurucakap polis, Mejar Jeneral Prawut Thavornsiri, berkata satu serangan grenad dilaporkan menyasarkan pejabat Suruhanjaya Pembasmian Rasuah Nasional, di wilayah Nonthaburi, yang terletak ke barat laut Bangkok, malam kelmarin.

Bangunan suruhanjaya itu mengalami kerosakan tetapi tiada sesiapa yang cedera dalam letupan itu.

'Bom kedua meletup di sebatang jalan raya berdekatan Jabatan Pertahanan selepas 10 malam (kelmarin). Ia mencederakan seorang pemungut sampah Bangkok. Sebuah kereta turut ditemui berdekatan kawasan itu dan polis sedang menyiasat,' kata Mejar Jeneral Prawut, semalam.

Menurutnya, kecederaan pemungut sampah itu tidak serius.

Tidak diketahui siapa yang bertanggungjawab atas kedua-dua letupan itu.

Awal kelmarin, sekitar 65,000 anggota kumpulan 'Baju Merah' menunggang motosikal serta berhimpit menaiki trak dan kereta memulakan perarakan karavan seharian menerusi jalan raya di ibu kota ini, dengan harapan dapat memujuk penduduknya menyokong mereka menjatuhkan kerajaan.

Semalam, kumpulan 'Baju Merah' pula meneruskan rancangan mereka dengan mengadakan 'lukisan berdarah' di atas kanvas putih, semalam.

Hasil karya seni itu menggunakan lebihan 15 jag darah yang telah didermakan oleh anggota kumpulan 'Baju Merah' pada minggu lalu untuk disimbah pada pintu pagar rumah Encik Abhisit dan di pintu pagar Bangunan Kerajaan.

'Kami akan menggambarkan perjuangan kami dalam bentuk sajak dan lukisan. Apabila sudah selesai, kami akan mempamerkan hasil karya seni kami di atas pentas dan selepas kami menang dalam perjuangan, kami akan membingkaikan lukisan ini sebagai satu bukti sejarah,' kata seorang anggota kumpulan 'Baju Merah', Encik Visa Kantab, yang juga seorang penyajak.

Sekitar 50,000 pegawai keselamatan telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di Bangkok dan kawasan berdekatan. -AFP, AP, Reuters
Dikuasakan oleh Blogger.